
Seorang suami bertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin seperti makan minum, penginapan, pakaian, kebajikan, keselamatan, pengetahuan agama, hukum hakam dan keperluan seksual.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud: “Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tempat bercucuk tanammu sebagaimana saja yang kamu kehendaki”.
Selain itu hak terhadap nafkah batin atau seks bagi seorang isteri ini adalah wajib ditunaikan suami. Allah SWT menyebut dalam al-Quran menerusi Surah Al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud: “Dan wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya dengan cara yang makruf.”
Malah, antara tujuan perkahwinan ialah menghalalkan hubungan seks antara suami isteri.
Sekiranya, seorang isteri itu berkeinginan kepada nafkah batin maka wajiblah ditunaikan oleh suami melainkan suami mengalami penyakit yang menyebabkan beliau gagal memberikannya.
Jika suami gagal untuk memberi nafkah batin kepada isteri tanpa sebab, hukumnya berdosa dan menganiaya isteri.